Sunday, February 26, 2006

Maklumat Tentang Knoppix Live CD


Saya ingin membuktikan bahawa untuk menggunakan Live CD adalah sangat mudah. Sungguh mudah malah hanya mengambil masa lebih kurang lima minit sahaja untuk menggunakannya, tiada proses install dan yang paling utama isi di dalam hard disk anda tidak akan diganggu sama sekali. Sungguh menakjubkan bukan ! Anda tidak percaya ? Ikuti penerangan saya seterusnya.

Untuk pengetahuan anda, aplikasi Knoppix berasal dari negara Jerman. Distribusi ini dipelopori oleh konsultant GNU/ Linux iaitu, Klaus Knopper. Oleh sebab itulah anda akan menemui banyak maklumat dan halaman web mengenainya di dalam Bahasa Jerman. Namun begitu terdapat sebilangan petunjuk dan halaman Knoppix di dalam bahasa Inggeris. Knoppix ini dihasilkan berasaskan distribusi yang terkenal iaitu Debian dan dinamakan Live CD (CD yang hidup) kerana kebolehannya beroperasi sepenuhnya tanpa perlu menggunakan hard disk atau menginstallnya terlebih dahulu ke dalam hard disk komputer anda. Cara ianya berfungsi adalah dengan menggunakan sepenuhnya memori capaian rawak (RAM). Oleh sebab itu jika anda mempunyai RAM yang besar adalah lebih baik. Walau bagaimanapun untuk kegunaan biasa, RAM sebanyak 128MB adalah mencukupi.


Apa yang anda perlu tahu terlebih dahulu.

Untuk menggunakan Knoppix, sekurang-kurangnya komputer anda mempunyai spesifikasi minimum seperti berikut:

Pemproses jenis serasi dengan Intel Pentium. Sebaik-baiknya minimum Pentium I 350 Mhz.
Sekurang-kurangnya mempunyai 128 MB memori capaian rawak (RAM) (Jika mempunyai lebih memori capaian rawak adalah lebih baik.
CD-ROM yang boleh but. Kebanyakan komputer baru kini telah menjadikan CD- ROM sebagai konfigurasi yang standard. Anda boleh memeriksa konfigurasi but anda di BIOS. Tetapi pastikan anda tahu apa yang anda buat! Jika tidak bincang dahulu dengan rakan anda yang pakar mengenainya.
Paparan grafik kad yang serasi dengan SVGA. Kebanyakan kad grafik menyokong spesifikasi ini.
Standard tetikus yang menyokong jenis bersiri atau PS/2 atau USB.
Monitor yang boleh menyokong paparan 800 x 600 resolusi piksel. Paparan biasa yang digunakan oleh monitor masa kini.


Langkah Pertama

Anda perlu mempunyai CD Knoppix terlebih dahulu !


Langkah Kedua
Pastikan BIOS diset untuk mengesan CD ROM anda terlebih dahulu. Kebanyakan komputer masa kini mempunyai CD ROM yang boleh but dan menjadikannya sebagai konfigurasi yang standard. BIOS hanya boleh diubah pada permulaan but dengan menekan papan kekunci {Del} atau {F2}. Ini hanya berfungsi pada jenis BIOS jenis AMI, Award dan beberapa jenis BIOS sahaja. Sesetengah BIOS mempunyai kombinasi kekunci yang berlainan. Apabila di dalam BIOS, anda perlu memeriksa di boot sequence serta pastikan CD ROM anda dipilih sebagai but yang pertama. Apabila selesai pemilihan, anda perlu mengekalkan maklumat ini dengan memilih SAVE (simpan) dan EXIT (keluar).

Sila pastikan jenis BIOS pada komputer anda. Terlebih dahulu pastikan anda mengetahui apa yang perlu anda lakukan. Jika anda tidak pasti, berbincang terlebih dahulu dengan mereka yang lebih pakar. Ini kerana, kesilapan pada sistem konfigurasi BIOS boleh menyebabkan komputer anda tidak akan but!


Langkah Ketiga

Masukkan CD Knoppix di dalam CD ROM anda dan tekan butang mula. Apabila melepasi BIOS, komputer anda akan terus membaca dari CD Knoppix.

Tekan terus kekunci masuk (enter) dan CD ROM anda akan mula membaca CD Knoppix. Pada ketika ini Knoppix akan mula mengesan jenis perkakasan pada komputer anda dan menyediakan konfigurasi yang sesuai . Hanya dengan mengambil masa lebih kurang 4-5 minit (bergantung kepada kelajuan dan memori capaian rawak pada komputer anda), anda akan melihat GUI (antara muka pengguna grafik). Apalagi, anda sudah boleh bermain dan menjelajah Knoppix Live CD.

Salah satu di antara kemudahan Knoppix yang paling utama adalah kelebihannya untuk mengesan perkakasan yang terdapat pada komputer peribadi anda dan mengkonfigurasinya secara automatik (seperti jenis hard disk, CD-ROM, kad grafik, modem, kad rangkaian dan sebagainya) . Ini memberi kesenangan dan pertolongan kepada mereka yang masih baru kepada Linux, tanpa perlu bersusah payah memikirkan penyediaan teknikal yang sesuai. Selain dari itu Knoppix juga unik kerana kemampuannya untuk memampatkan lebih kurang di antara 1900 MB – 2000 MB saiz aplikasi hanya kepada 700 MB, iaitu muatan satu CD sahaja. Ia juga mempunyai pelbagai aplikasi-aplikasi sumber terbuka yang menarik dan menakjubkan, serta tidak ketinggalan aplikasi-aplikasi killer atau utama seperti pelayar web jenis Mozilla , GAIM untuk perbualan teks (seperti Yahoo Messenger, MSN Messenger, AIM/ICQ Messenger, OpenOffice.org, aplikasi grafik GIMP, XMMS (seakan sama seperti Winamp), IRC dan jika anda mempunyai kesemua akaun ini, anda boleh log-masuk secara serentak tanpa perlu menggunakan aplikasi yang berlain untuk setiapnya!) serta banyak lagi.

Pada sebelah kiri di GUI desktop, anda akan dapat melihat ikon-ikon seperti Trash, CD-ROM, Floppy disk, dan beberapa ikon seperti Hard Disk Partition [hda1], Hard Disk Partition [hda2] dan seterusnya . Hard Disk Partition sebenarnya menggambarkan jenis-jenis pemetakan yang terdapat di dalam cereka keras (hard disk) anda. Jika anda hanya mempunyai satu pemetakan, iaitu Windows, anda hanya mendapati satu ikon sahaja dan begitulah seterusnya. Oleh kerana Knoppix dihasilkan bertujuan untuk demo dan pengenalan kepada mereka yang ingin berjinak-jinak dengan Linux, anda hanya dibenarkan mengakses partition-partition anda, hanya sebagai membaca (READ) sahaja. Ini bermakna anda tidak dibenarkan untuk menulis (WRITE) pada pemetakan tersebut. Ini adalah untuk mengelakkan daripada sebarang perkara yang tidak diingini berlaku kepada cereka keras anda. Walau bagaimanapun terdapat kaedah di mana anda boleh menukar daripada membaca sahaja (READ only) kepada membaca dan menulis (READ dan WRITE) untuk anda menyimpan hasil kerja anda di sana. Di dalam keluaran kali ini, saya tidak berkongsi lebih dalam mengenai kaedah tersebut. Mungkin di dalam keluaran yang akan datang.

Anda boleh mencuba memahami mengenai Knoppix dengan hanya menekan tetikus anda pada ikon KNOPPIX yang terdapat pada paparan sebelah kiri bawah di desktop anda. Pilih [EN] dan anda boleh mendapat pelbagai maklumat asas mengenai Knoppix.

Apabila selesai dan puas bermain dengan Knoppix, anda boleh menekan butang log-out (gambarajah 6) dan memilih butang Restart computer. Tunggu arahan sehingga yang mengatakan bahawa anda boleh mengeluarkan CD Knoppix dari CD-ROM anda. Kemudian, keluarkan CD Knoppix dan apabila anda but kembali, komputer anda akan kembali kepada keadaan asal. Selamat mencuba !





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?